Ahad, 1 Januari 2012

Teleconference: Air Mata Gaza bersama MCOT dan Muslim Care Malaysia dengan kerjasama Nur Ramadhan


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang

          Pertamanya saya ingin mengajak saudara seIslam saya untuk mengucapkan selawat ke atas junjngan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan juga salam sejahtera didoakan kepada para sahabat Baginda, tabi’ dan juga tabi’ tabi’in.



          Alhamdulillah dengan keizinan-Nya, pihak MCOT dengan kerja sama Muslim Care Malaysia telah berjaya mengadakan satu teleconference dengan tajuk “Air Mata Gaza”. Program ini telah diadakan pada 25 Disember 2011, jam 9 malam sehingga 11 malam bertempat di rumah 114 Heald Grove Manchester. Teleconference ini telah  disiarkan ke seluruh UK dan Ireland serta beberapa buah negara lain seperti Malaysia dan Mesir. Saluran yang digunakan untuk menyiarkan program ini adalah saluran Ustream MCOT dan juga saluran Ustream Nur Ramadhan. Rakaman program ini boleh didapati di sini: http://www.ustream.tv/recorded/19386096

          Program ini telah menampilkan empat orang tokoh yang merupakan penggerak kepada Muslim Care Malaysia. Empat orang tokoh ini adalah Haji Zulkifli Wahijan, Haji Zakaria Latif, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Ghani dan juga Ustaz Riduan Mohd Nor. Masing-masing telah memberikan pengisian berkenaan dengan pengenalan kepada Muslim Care, projek terbaru Muslim Care di Palestin (rujuk minit ke 00:19:33 rakaman):, kepentingan untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin dan juga sedikit perkongsian berkenaan dengan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin. Alhamdulillah penerangan dan juga perkongsian yang diberikan oleh ke empat-empat penceramah ini telah mampu memberi input berguna kepada para pendengar di studio dan juga di tempat-tempat lain. Alhamdulillah juga kita ucapkan kerana program ini telah berjaya menarik seramai 137 orang pendengar dari UK, Ireland, Malaysia dan juga Mesir.

         Pada malam tersebut juga, pihak Muslim Care Malaysia juga telah berjaya melancarkan kutipan derma online untuk mengumpul dana pembinaan masjid di Gaza, Palestin. Untuk mendapatkan perincian mengenai dengan derma online ini, bolehlah rujuk kepada poster acara ini, insyaAllah.


         Saya sebagai mewakili pihak MCOT ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Muslim Care Malaysia, Nur Ramadhan dan juga para pendengar yang sudi meluangkan sedikit masa untuk sama-sama mendengar pengisian dalam teleconference ini. Pihak MCOT juga memohon maaf atas kualiti rakaman yang kurang memuaskan.




"MCOT For All, By All"

NIK MOHD FARHAN BIN MOHD ARIFFIN
PENGHULU MCOT 2011/2012

Tiada komen.

Catat Ulasan