Episod 2:
Anatomi Keris: Part 1
Secara amnya,
bahagian-bahagian yang terdapat pada sesebilah keris boleh dibahagikan kepada:
- Hulu atau ukiran*
- Mendak* dan selut*
- Bilah* atau mata keris
- Sarung
*Istilah yang digunakan di
tanah Jawa
Hulu
- Merupakan bahagian pemegang keris yang biasanya berbentuk seperti bahagian pemegang pistol
- Diperbuat daripada bahan-bahan seperti kayu, gading dan kadang-kadang, emas bagi kerabat diraja dan istana.
- Seni ukirannya berbentuk seakan-akan manusia, binatang (terutamanya burung), raksasa, watak wayang kulit dan abstrak.
- Seni ukiran yang terdapat pada hulu sering digunakan untuk menentukan asal usul sesebilah keris. Contohnya, keris-keris Semenanjung terkenal dengan hulu yang berbentuk abstrak yang dikenali sebagai Jawa Demam kerana bentuknya yang menyerupai seorang jawa yang bercangkung dan berpeluk tubuh kerana demam. Keris Madura pula terkenal dengan hulu yang diukir dengan motif flora, manakala keris Bali pula terkenal dengan hulu yang berbentuk dewa-dewi Hindu. Bentuk yang lebih unik dapat dilihat pada Keris Pekaka dan Keris Tajong (dari Selatan Thai) yang bermotifkan watak dalam wayang kulit.
- Dikatakan bahawa hulu keris pada awal penciptaanya adalah berbentuk seperti manusia, haiwan, raksasa malah ada juga yang menerapkan unsur-unsur Hindu. Namun setelah kedatangan agama Islam yang menghalang umatnya menyimpan ukiran yang menggambarkan bentuk manusia dan haiwan, apatah lagi yang berunsurkan agama lain. Maka, bentuknya telah berevolusi kepada yang lebih abstrak terutamanya di Sumatera, Semenanjung Malaysia, Yogyakarta dan Surakarta (atau Solo). Namun, bagi kawasan dengan majoriti penduduknya beragama Hindu, bentuk ukiran asal hulu masih dikekalkan hingga ke hari ini.
Foto 2: Hulu Jawa Demam yang
sering
terdapat pada keris Semenanjung
Foto 3: Hulu gaya Madura dengan
ukiran bermotifkan flora
Foto 4: Hulu gaya Madura
Baginda Yang Dipertuan Agong.
Keris ini ialah jenis keris tajong, berhulu gaya pekaka
Foto 6: Keris Jogjakarta.
Perhatikan hulunya yang
diukir dengan motif yang
abstrak
Foto 8: Hulu Keris Bali yang
masih kuat pengaruh Hindunya
Foto 9: Hulu Keris Bugis yang
seakan-akan sama dengan
Hulu Jawa Demam Keris Semenanjung, cuma lebih panjang
dan membengkok
Selut dan Mendak
- Ini adalah bahagian berbentuk cincin yang terletak antara hulu dan mata keris bertujuan untuk mengukuhkan genggaman tangan pada keris, selain sebagai hiasan yang menjadi simbol status pemakainya.
- Selut adalah bahagian yang dekat dengan hulu yang berbentuk seperti cincin manakala mendak adalah bahagian yang dekat dengan mata keris yang berbentuk seperti cangkir.
- Kebiasaanya, hanya keris-keris Jawa sahaja yang mempunyai selut dan mendak, manakala keris-keris daripada lokaliti lain samada hanya mempunyai mendak atau tiada kedua-keduanya.
- Di semenanjung Malaysia, mendak dikenali dengan nama pendongkok.
- Mendak yang biasa terdapat pada keris Semenanjung dikenali sebagai Mendak Melaka. Keris Bugis dan Sulawesi pula terkenal dengan mendak yang lebar dan tebal.
- Keris yang digunakan sebagai simbol status sering mempunyai mendak dan selut yang dihiasi manikam yang berwarna-warni.
Foto 10: Kepelbagaian jenis
mendak
Foto 11: Salah satu reka bentuk
selut yang unik
Foto 12: Perhatikan mendak yang
lebar dan tebal pada keris Bugis ini
*BERSAMBUNG DI BAHAGIAN 2*
Hasil nukilan:
~Panglima Sungai Kinta~


















2 komen:
salam tuan panglima,
takde ke keris yang dibuat daripada logam mahal mcm titanium ke emas ke? or maybe tuan hamba boleh cerita pasa kegunaan keris
Waalaikummussalam. Kebiasaannya, mata keris diperbuat daripada tiga jenis logam; besi (warna gelap), logam nikel (berwarna keperakan) dan besi baja (besi keras yang berwarna gelap). Tempaan gabungan logam inilah yang menghasilkan pamor (corak) pada mata keris. Namun, pada sesetengah keris, terutamanya yang diguankan oleh pembesar,sultan atau individu tertentu, pengguanaan logam mahal dapat diperhatikan.
Di Jawa, saya pernah terbaca bahawa untuk seseorang tentera atau pahlawan (penjurit ialah istilah yang biasa digunakan)yang telah banyak berjasa, mereka biasanya diberi kurnia kepada sulotan yang memerintah. Antara bentuk kurnia yang diberikan ialah kinatah, iaitu hiasan yang diperbuat daripada emas yang ditempelkan pada mata keris mereka.
Gambar keris berkinatah:
http://www.google.com.my/imgres?q=kinatah&hl=en&sa=X&biw=1280&bih=663&tbm=isch&prmd=imvns&tbnid=EAWkKkISMi7FEM:&imgrefurl=http://negerikeris.blogspot.com/2011/05/apa-sih-bedanya-antara-sinarasah.html&docid=WoNxA1g--l2I4M&imgurl=http://1.bp.blogspot.com/-YNNigWxHZhM/Tdiy_kFsaSI/AAAAAAAABC4/h59vHhx34og/s1600/sinarasah.jpg&w=300&h=443&ei=swIFT62BJMjC8QOS8fCVDA&zoom=1&iact=hc&vpx=344&vpy=122&dur=1268&hovh=273&hovw=185&tx=99&ty=148&sig=108166694377024644112&page=1&tbnh=159&tbnw=108&start=0&ndsp=19&ved=1t:429,r:1,s:0
Suatu masa dahulu di Tanah Melayu, penggunaan emas pada keris adalah bertujuan sebagai simbol status sosial si pemakainya. Ada keris yang keseluruhan matanya diperbuat daripada emas, dan jenis keris seperti ini dikenali sebagai "Keris Gayang". Jika hanya hulunya diperbuat daripada emas, maka ia dikenali sebagai "Keris Hulu Kenchana". Jika hanya sarungnya diperbuat daripada emas, maka ia dikenali sebagai "Keris Gabus". Namun, penggunaan emas pada keris suatu ketika dahulu hanya dibenarkan kepada golongan-golongan tertentu sahaja seperti sultan, pembesar dan kerabat diraja, sepertimana yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka. Hukuman dikenakan kepada orang kebanyakan yang menggunakan emas pada keris mereka.
Tentang logam-logam berharga lain, saya kurang periksa. Namun ada juga keris-keris di tanah Jawa yang diperbuat pada batu meteor yang jatuh pada tahun 1747 di Surakarta, Jawa Tenagh, berhampiran dengan tapak Candi Prambanan. Batu meteor masih ada pada hari ini di perkarangan Kraton (Istana) Surakarta.
Wallahualam.
Sumber:
Frey, Edward. 2003. The Kris: Mystic Weapon of The Malay World (3rd Ed.). Oxford University Press. Pg 21.
Versi elektronik:
http://books.google.com.my/books?id=2N_dcj9XfVgC&printsec=frontcover&source=gbs_ge_summary_r&cad=0#v=onepage&q&f=false
Panglima Sungai Kinta
Catat Ulasan