Episod 1: Prolog
Keris
merupakan suatu objek yang tidak asing lagi dalam menyelusuri budaya di
tanah air. Bukan semata-mata sebagai senjata, namun masih banyak lagi fungsi dan
peranan yang dibawa oleh objek budaya ini. Namun, hakikat sebenar tentang
warisan bangsa ini semakin dikaburi oleh sejarah silam dan mitologi yang
menyelubunginya sejak sekian lama, sehinggakan seringkali ada dalam kalangan
kita yang cukup gentar pabila diajak berbicara tentang keris.
Foto1: Keris Taming Sari
dalam simpanan DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Adakah ini keris Taming Sari yang sama yang pernah dimiliki Hang Tuah suatu ketika dahulu?
Adakah ini keris Taming Sari yang sama yang pernah dimiliki Hang Tuah suatu ketika dahulu?
Di sini, penulis
ingin sekali mengajak para pembaca untuk menyelami maksud sebenar keris sebagai
suatu karya seni yang tinggi nilainya. Setelah habis istana-istana serta
kapal-kapal kayu tinggalan nenek moyang lenyap ditelan zaman, tinggallah keris
sebagai salah satu bukti betapa nenek
moyang kita sudah mahir dalam seni dan ilmu pertukangan besi dan ukiran kayu
yang dijadikan medium bagi menerapkan nilai-nilai budaya mereka yang kaya
dengan keistimewaan tersendiri . Inilah antara tinggalan terakhir yang menjadi
bukti betapa budaya kita itu luar biasa. Dalam lembut berseni, ada keras
tak terperi. Dalam kerasnya pula ada, lembut berseni. Petanda sopan santun
bangsa berbudi.
Foto 2: Keris dewasa ini
lebih berfungsi sebagai pelangkap upacara dan adat-istiadat. Kelihatan
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah
Al-Haj, Sultan Negeri Selangor mengucup Keris Berok Berayun tanda menerima
tanggungjawab ketika istiadat pertabalan baginda.
Perkataan
pertama yang sering muncul selepas disebut tentang keris ialah “Keris?
Ishk....takut. Ada jin!” Tidak dinafikan, bahawa kebanyakan keris telah ternoda
dengan unsur-unsur syirik yang boleh membawa kepada kemurkaan Yang Maha Esa.
Namun, itu semua hasil daripada tindakan manusia sendiri yang alpa,
taksub mahupun yang masih belum menerima kefahaman Islam yang jitu,
lantas meletakkan jin dan syaitan sebagai “pelindung” samada secara langsung
atau tidak langsung, atau samada sedar atau tidak sedar. Usahlah dek sebilah
keris pusaka, maka habis kesemuanya jua dibilang berpuaka.
Keris itu hanyalah kayu dan besi, tidak lebih
dari itu. Namun, falsafah, teknologi pertukangan dan metalurgi serta seni
ukiran dan pahatan yang tersimpan dalam objek inilah yang seharusnya kita ambil
ibrahnya. Bukan untuk dipuja, bukan untuk diagung. Bukan untuk dijunjung, bukan
jua untuk disanjung.
Foto 3: Gaya pemakaian keris
seorang pria Jawa yang ternyata berbeza dengan adat pemakaian keris di Malaysia
Dalam siri “Ada
Apa Dengan Keris?”, penulis ingin berkongsi dengan anda semua tentang apa yang
diertikan dengan keris? Apa keistimewaan yang terdapat pada keris ini,
sehinggakan ramai yang sanggup berhabis wang untuk memilikinya? Kita juga akan
menyelusuri sedikit sebanyak tentang ‘anatomi’ keris, sejarah di sebalik
penciptaannya serta budaya perkerisan dalam dunia moden ini.
Nantikan kemunculannya.......
Nantikan kemunculannya.......
Hasil nukilan:
~ Panglima
Sungai Kinta~










Tiada komen.
Catat Ulasan