Khamis, 24 November 2011

Bicara Pemuda

Bismillahirrahmanirrahim.
Ketika mana Saidina Umar ra duduk bersama sahabat-sahabatnya, beliau bertanya akan impian sahabatnya itu.
Seorang daripada mereka mengimpikan agar negeri itu dipenuhi dengan emas dan akan digunakannya ke jalan Allah. Maka ‘Umar berkata, impikanlah.
Salah seorang  yang lain pula mengimpikan agar negeri itu dipenuhi dengan permata, lantas digunakannya kejalan Allah. Maka ‘Umar berkata, impikanlah.
Sahabat-sahabatnya pula berkata bahawa tiada apa lagi yang ingin mereka katakan. Maka Umar berkata;
Aku mengimpikan PEMUDA seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Mu’adz bin Jabbal, dan Salim hamba Huzaifah, lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.


Itulah pemuda. Tonggak kepada sesebuah masyarakat. Bahkan hadis melayu mengatakan bahawa pemuda hari ini merupakan cerminan kepada keadaan negara pada masa hadapan. Baiknya pemuda pada hari ini, maka majulah negara yang bakal dipacu mereka dan begitulah sebaliknya.
Jika kita melihat kembali kepada mana-mana revolusi ataupun reformasi yang berlaku dalam sejarah, maka kita akan melihat di sana akan pemuda yang menjadi tulang belakang kepadanya. Semangatnya, buah fikir yang kreatif dan inovatif, ditambah pula dengan tenaga yang ada pada sosok tubuh seorang pemuda itu menjadikan pemuda itu tonggak kepada sejarah yang berlaku.
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran”.[18:14]
Pemuda dan cinta.
Cinta itu boleh jadi punya seribu makna bergantung kepada siapa yang mendefinisikannya. Pendek kata, setiap orang punya maksud yang tersendiri apabila berbicara tentangnya. Sang hamba tuhan mendefinisikannya sebagai penyerahan secara total kepada penciptanya. Cinta bagi sang teruna pula apabila ia bersama si dara.
Cinta mampu menjadi daya penolak kepada pemuda untuk terus mara
Cinta bagi sang pemuda pula ibarat akar yang menghunjam. Sedikit sahaja yang ditampakkan tetapi jauh menjalar di dalam tanah. Menjadi pondasi kukuh buat sang pemuda terus berdiri gah. Menjadi pencetus kepada badai perubahan ummat dengan syarat cinta itu dihalakan kepada tujuan yang benar.
Pemuda dan tarbiyah.
Hamasah dan tenaga sang pemuda itu perlu disalurkan melalui saluran yang betul. Ibarat darah yang mengalir ke setiap inci tubuh manusia, semuanya mempunyai saluran yang tersendiri bagi memastikan keseimbangan tubuh badan tercapai.
Tarbiyah pula merupakan saluran yang difikirkan paling sesuai bagi segala tenaga dan nilai yang ada pada diri seseorang pemuda itu. Tarbiyah menjadikan pemuda daripada zero kepada hero. Dari insan biasa kepada manusia super.
Tarbiyah yang tersusun mampu menukar seseorang daripada zero kepada hero
Kita lihat bagaimana sejarah membuktikan pemuda-pemuda yang ditarbiyah oleh Muhammad SAW bertebaran ke pelosok muka bumi menyampaikan risalah yang dibawa oleh nabi sehingga ada yang sampai ke negeri China. Apa yang menolak mereka sehingga mereka begitu yakin dengan dakwah dan risalah yang dibawa? Itulah tarbiyah.
Didikan yang diterima secara berterusan dan bersistematik mengikut manhaj yang digariskan nabi mampu menukar pemuda yang lembik menjadi sang jantan. Mereka yang lemah menjadi kuat. Bahkan mendidik profesional menjadi ulama’ dan para ulama’ bisa berbicara dan menguasai ilmu dunia. Istimewanya tarbiyah ini.
Pemuda dan cita-cita.
Cita-cita yang besar memerlukan kepada manusia yang mampu memikul dan melaksanakannya. Ianya lebih bukan sahaja kemampuan fizikal, bahkan material dan mungkin sahaja jiwa.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” (9:111)
Cita-cita menegakkan agama Allah ini tidak mampu didokong oleh insan biasa. Pemuda yang melalui proses pentarbiyahan dan memahami ma’ani tarbiyah ini bahkan menjadi tulang belakang kepada agenda besar ini.
Pemuda yang diimpikan Umar memberi gambaran kepada kita apakah ciri-ciri kepada pendokong cita-cita besar ini. Abu Ubaidah al-Jarrah misalnya dipuji nabi sebagai ‘kepercayaan umat’ dan antara kisah mahsyurnya adalah ketika mana peperangan uhud sedang berlaku. Ketangkasan dan keberaniannya mempertahankan Nabi SAW walaupun terpaksa berdepan ayahnya sendiri terbukti sehingga dirangkumkan dalam surah al-Mujadalah, ayat 22.
Cita-cita besar ini memerlukan kepada pemuda yang faham akan tanggungjawab dan juga beban yang dipikul. Gambar ketika di atas puncak Bukit Galway, Jalinan Ukhuwah Musim Panas JUMP'11
Ini ciri-ciri pemuda yang mampu mendokong sebuah gagasan besar dalam membina umat. Persoalannya, adakah kita mampu? Anda jawab.
Betapa istimewanya pemuda. Rugi jika tidak digunakan segala sumber yang ada. Bukanlah harta sebuah negara itu hasil bumi yang pelbagai, tetapi pemuda yang kentallah harta yang paling bernilai.
Kita berbicara tentang pemuda di mana didalamnya terkandung seribu rahsia.
Potensinya tiada terkira, boleh jadi seluas alam selebar lautan.
Kita bercakap tentang pemuda di mana tenaganya bisa menggegar dunia.
Asal sahaja dirinya dipandu kepada jalan menggapai redhaNya.
Akhialgebra,
Baitul Badar [12:11 pm]
www.akhialgebra.com

Tiada komen.

Catat Ulasan